KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) yakin mampu mencapai keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang hasil hubungan baik dengan kebanyakan parti politik di negeri ini, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
“Saya yakin kali ini PH akan berjaya kerana kita berkawan dengan ramai pihak. Kita akan terus lakukan yang terbaik di lapangan,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Selasa.
Ketibaannya disambut lebih 100 penyokong PKR kaum Cina diketuai adik-beradik Datuk Chee Chi Vun dan Datuk Simon Chee Chi Nyen serta beberapa ketua cabang termasuk Ketua Cabang Kimanis, Niki Ramday.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, lawatan kerjanya bertujuan meninjau persiapan menjelang PRN serta memperkukuh kerjasama antara cabang PH di Sabah.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut memuji kematangan ketua-ketua cabang PH Sabah dalam menangani isu berkaitan calon, termasuk rasa tidak puas hati yang dibangkitkan dalam mesyuarat tertutup baru-baru ini.
“Semua pemimpin PH setia kepada parti dan presiden. Segala perbezaan akan diselesaikan melalui perbincangan,” katanya sambil menambah maklum balas akar umbi akan disampaikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas keputusan UPKO untuk bertanding menggunakan logo sendiri, Ramanan menegaskan perkara itu masih cadangan dalaman parti berkenaan.
“Semua keputusan mesti dibincangkan di peringkat tertinggi. PKR akan guna logo PH,” katanya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan politik Sabah yang dinamik sebagai peluang untuk mengukuhkan kerjasama antara PH, GRS dan UMNO.
Berhubung penubuhan gabungan baharu, Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Ramanan berkata PH tidak menganggapnya sebagai ancaman.
“Saya tidak fikir begitu. Politik Sabah sangat berubah-ubah, hampir setiap hari ada perkara baharu. Kita akan terus bekerja dengan keadaan sedia ada,” katanya.
Ramanan turut dijadual menghadiri dua program kementeriannya di Inanam dan Api-Api sepanjang lawatan kerja tiga hari itu.