Pimpinan Parti Gagasan Rakyat Diminta Pertimbangkan Lantikan Wanita Muda Sebagai ADUN Dilantik 

Pimpinan Parti Gagasan Rakyat Diminta Pertimbangkan Lantikan Wanita Muda Sebagai ADUN Dilantik 

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memohon agar pucuk pimpinan parti mempertimbangkan pelantikan wakil wanita muda sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, sebagai langkah memperkukuh suara generasi muda dalam proses pembuatan dasar negeri.

Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar soal kuota, tetapi soal kompetensi, komitmen dan keberanian wanita muda untuk membawa aspirasi rakyat ke peringkat tertinggi.

“Kita tidak menuntut jawatan kerana usia, tetapi kerana kesediaan untuk memikul tanggungjawab. Jika ada kekosongan, kami mohon diberi peluang untuk membawa suara wanita muda sebagai ADUN dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Ahad lalu.

Menurut Emmie, jurang penyertaan wanita muda, khususnya dari kawasan luar bandar, dalam kepimpinan negeri masih ketara dan perlu diberi perhatian serius.

Beliau turut memuji pelaksanaan inisiatif Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang telah membantu lebih 200 wanita muda dengan pembiayaan sehingga RM50,000, namun menekankan bahawa banyak ruang masih boleh diperluas sehingga ke peringkat akar umbi.

“Pemberdayaan ekonomi wanita muda bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik negara, terutamanya dalam era pemulihan pasca pandemik,” ujarnya.

Dalam masa sama, Emmie menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan politik wanita muda serta pengembangan program latihan keusahawanan dan TVET di seluruh Sabah termasuk di Tawau, Lahad Datu, Sipitang, Tenom dan Pitas.

“Pendidikan bukan semata-mata akademik, tetapi asas tamadun dan kualiti kepimpinan. Kita mahu wanita muda luar bandar diberi akses kepada latihan digital, pembiayaan dan pasaran yang adil,” tambahnya.

Emmie turut menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, dan menegaskan bahawa Beliawanis akan terus menjadi benteng dan penyambung antara pimpinan dan rakyat.

“Kami bukan sekadar berdiri di belakang Presiden, kami juga berada di hadapan sebagai perisai perjuangan dengan hujah, kesetiaan dan semangat,” katanya.

“Beliawanis bukan hanya pewaris perjuangan, tetapi pembina zaman dan pencipta peluang. Kita tidak hanya angkat bendera, kita angkat hujah. Kita tidak hanya laungkan sokongan, kita laungkan harapan yang disokong dengan fakta,” tegas Emmie.