PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan, di sini, hari ini.
Memetik sumber Bernama, lawatan khas Prawit ke Malaysia diiringi oleh Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jen Chaichan Changmongkol.
Ketibaan Prawit dan delegasinya di Seri Perdana kira-kira jam 12 tengah hari itu, disambut Anwar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sejurus tiba, Anwar dan Prawit mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dan kemudiannya meraikan Prawit serta delegasinya dalam majlis makan tengah hari.
Prawit dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11 pagi tadi bagi sesi lawatan khas sehari ke Malaysia.
Kunjungan terbabit antara lain bertujuan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara, serta bertukar pandangan dan berkongsi maklumat bagi kebaikan serantau itu.





