PMR JaPen Sabah Terima Bahan Promosi

PMR JaPen Sabah Terima Bahan Promosi

0
SHARE
Japen
Mastinah (dua dari kanan) menyerahkan gegantung kepada Supian (tiga dari kanan) pada majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seluruh Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Jabatan Penerangan Sabah hari ini, menerima bahan promosi berupa gegantung daripada Pejabat Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah.

Timbalan SUP Mastina Ibnu Hassan berkata penyerahan gegantung kepada PMR Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah itu merupakan kerjasama untuk membantu memperhebat serta menyebar luas perkhidmatan beberapa agensi serta jabatan persekutuan kepada masyarakat secara dalam talian.

“Gegantung yang kita serahkan pada hari ini mempunyai tiga helai bagi setiap set yang kandungannya menyediakan QR Code perkhidmatan secara atas talian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu MyJPJ.

“Bagi JPN pula, perkhidmatan yang tersedia merangkumi Permohonan Gantian MyKAD, Sistem Semakan Permohonan Gantian MyKAD, MyPR dan MyKAS serta Sistem Semakan Status Permohonan Kewarganegaraan manakala Jabatan Imigresen menyediakan Pembaharuan Pasport, Lanjutan Lawatan Pas Lawatan Sosial (e-PLSI) dan Lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS).

“Diharapkan, dengan tujuan kita menyebarluas perkhidmatan atas talian melalui Kluster Pendigitalan dan Inovasi akan memudahkan lagi masyarakat untuk berurusan tanpa datang ke pejabat terutamanya sasaran utama kita mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya selepas menyerahkan gegantung terbabit kepada Timbalan JaPen Sabah, Supian Musa di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Digital Sabah.

Sementara itu, Supian berharap agar penyediaan maklumat melalui atas talian akan membantu masyarakat memahami info-info yang betul bagi memudahkan urusan.

“Antara yang sering menjadi tumpuan masyarakat dalam program-program yang dilaksanakan adalah perkhidmatan kesihatan, pendaftaran dan juga info berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan kita harapkan agar lebih ramai lagi agensi atau jabatan lain turut serta dalam program sebegini kerana gegantung ini kita akan bawa dan pamerkan dalam setiap program,” ujar beliau.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara JaPen Sabah, Sulia Banying Gihang dan Ketua Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Dan Kewangan, Nur Diyana Ujit. — JABATAN PENERANGAN SABAH