
PENAMPANG, SABAH – Polis daerah ini meminta saksi kejadian kes gaduh melibatkan tiga wanita di kawasan letak kenderaaan dipercayai pusat beli belah Megalong pada Khamis agar tampil memberi keterangan.
Video berdurasi dua minit 16 saat insiden tular pada hari sama menunjukkan mangsa ditampar sebelum rambutnya ditarik sehingga dia jatuh ke lantai lalu terus ditendang.
Berdasarkan rakaman video, kedua-dua pemukul bertindak ganas selepas mendakwa mangsa memburuk-burukan nama mereka.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, walau bagaimanapun, tiada laporan polis diterima setakat ini.
“Oleh demikian, pihak polis meminta saksi-saksi di tempat kejadian atau individu yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Sebarang maklumat boleh segera berhubung dengan ibu pejabat polis daerah penampang di talian 088-712222,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memuatnaik sebarang bahan yang tidak sahih media sosial mengenai kejadian bagi mengelakkan kegusaran yang boleh menganggu keselamatan orang awam.