SIPITANG, SABAH – Kecanggihan teknologi membolehkan pihak polis di sini memasang “mata” di udara dan dengan itu membawa kepada kejayaan penahanan beberapa individu yang merentas daerah tanpa alasan munasabah.
Ketua Polis Daerah DSP Champin Piuh berkata dua buah kenderaan, kereta pacuan empat roda dan van pelancong, mula dikesan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah pada petang Khamis.
Menurutnya pemantauan awal menggunakan dron berkenaan terkesan beberapa orang individu yang berkumpul dan tidak memakai pelitup muka di sebuah gerai buah-buahan di tepi jalan pekan Sipitang.
“Anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya Kampung Naluyan telah bertindak menahan kedua buah kenderaan yang membawa muatan durian…
“Mereka didapati gagal menunjukkan permit polis merentas daerah dan menyalahgunakan surat pengesahan agensi kerajaan untuk merentas daerah dari Kota Kinabalu ke Sipitang semata-mata untuk membeli durian di daerah ini,” katanya.
Kesemua pemandu dan penumpang telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sipitang dan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan merentas daerah.
Champin menegaskan bahawa sebagai langkah berjaga jaga untuk mengelak penularan virus COVID-19, orang awan diminta untuk kekal di rumah jika tidak mempunyai urusan penting sehingga keadaan semasa pandemik telah reda.
“Untuk pengetahuan umum, pihak Hospital Sipitang mengesahkan tiga kematian berpunca dari COVID-19 di daerah ini,” katanya.
Tambahnya lagi tujuan asal dron tersebut adalah bagi memantau kawasan kampung yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semenjak 15 Julai lalu.
“Memandangkan pihak polis tidak mampu membuat pemantauan di keseluruhan kawasan, kami mendapatkan bantuan daripada Unit Dron untuk memantau dari udara mana-mana individu Yang melanggar SOP Akta 342…
“Dron akan merakam imej individu yang melanggar SOP dan pasukan penguatkuasa PDRM akan terus ke lokasi apabila dron memberi isyarat dan sejurus itu polis akan membuat tangkapan kepada mereka yang berkumpul atau melanggar SOP,” katanya.
Semenjak 15 Julai lalu, beberapa Kampung di dalam daerah Sipitang diumumkan PKPD akibat peningkatan jangkitan COVID-19 dengan mendadak sehingga menimbulkan kegusaran dan keresahan penduduk.