JETAMA Giat Bangun SOPMOD, Sistem Solar Terapung Pertama di Sabah

JETAMA Giat Bangun SOPMOD, Sistem Solar Terapung Pertama di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Syarikat konsesi air Kota Kinabalu, JETAMA Sdn Bhd giat membangunkan sektor tenaga baharu dengan sistem solar terapung pertama di negeri ini yang dikenali sebagai Solar-Powered Modular System (SOPMOD).

Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan berkata, projek tersebut sudah mula beroperasi di Labuan dan akan turut dilaksana di Empangan Babagon, Penampang. 

“JETAMA telah memulakan usaha untuk membangunkan satu lagi sektor dalam tenaga iaitu tenaga solar. Satu projek telah mula beroperasi di Labuan dan satu lagi akan bermula tidak lama lagi di Empangan Babagon, Penampang, selain berkemungkinan akan dilaksana di kawasan Sandakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri JETAMA 2025 di sini, Sabtu lalu.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Tambah Yussof, projek tersebut merupakan sebahagian usaha syarikat itu dalam menekankan pembangunan dalam sektor lain yang sedang dirancang.

“Walaupun belum dapat saya dedahkan sepenuhnya, tumpuan awal adalah untuk meningkatkan bekalan elektrik di kawasan Pantai Barat,”katanya.

Dalam pada itu, Yussof berkata, pihaknya turut menerima permintaan daripada beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Pulau Banggi dan sembilan lokasi lain yang telah dikenal pasti.

Katanya, JETAMA turut memperkenalkan satu teknologi baharu dinamakan ‘water desalination’ iaitu proses menyahgaramkan air laut untuk dijadikan air tawar yang boleh digunakan dalam sektor industri.

“Teknologi ini membolehkan air laut ditukar menjadi air tawar untuk kegunaan industri, manakala bekalan air dari Jabatan Air atau agensi tempatan di Lahad Datu pula boleh digunakan untuk keperluan domestik,” katanya.

Menurutnya, inisiatif itu adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk memperluaskan capaian bekalan air bersih dan tenaga boleh diperbaharui kepada lebih ramai penduduk terutamanya di kawasan luar bandar dan pesisir pantai.