Polis Tembak Mati Dua Lelaki Miliki Rekod Lampau

Polis Tembak Mati Dua Lelaki Miliki Rekod Lampau

0
SHARE

HULU SELANGOR: Dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Hentian Sebelah Tanjung Malim arah utara, Perak semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata, anggota petugas di pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor menerima maklumat pertama kejadian tersebut pada jam 11.32 malam.

Memetik Sinar Harian, Hussein berkata, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bertindak mengekori sebuah kereta jenis Proton Waja kelabu kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Tambahnya, suspek yang menyedari diekori telah bertindak melarikan diri dengan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

“Pasukan polis telah mengejar suspek sehingga masuk ke hentian sebelah Tanjung Malim arah utara (KM396.5) dan berjaya menghentikan kenderaan suspek.

“Bagaimanapun suspek telah memulakan tindakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Pihak polis telah membalas tembakan sehingga memastikan keadaan selamat,” katanya di sini, hari ini.

Susulan itu katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada dalam kereta berlumuran darah dan telah meninggal dunia.

Jelas beliau, suspek merupakan dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod lampau dan seorang daripadanya mempunyai 23 rekod jenayah serta enam dikehendaki pihak polis.

Tambahnya, identiti seorang lagi suspek masih dalam proses mengenal pasti.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.