KINABATANGAN, SABAH – Dianggarkan lebih 400 orang penduduk Kampung Balat di Kinabatangan melahirkan rasa gembira apabila kemudahan bekalan elektrik 24 jam mula beroperasi sepenuhnya.
Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Barisan Nasional (BN) itu sekali gus menamatkan penantian penduduk kampung berkenaan yang terpaksa bergantung kepada penggunaan enjin jana kuasa elektrik atau pelita sebelum ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek yang mula dilaksanakan pada tahun 2013 melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menghadapi pelbagai kekakangan sebelum dapat disiapkan sepenuhnya.
Jelas beliau antara masalah yang dihadapi adalah penyusuanan semula kampung dan pendawaian.
“Alhamdulillah hari ini setelah bertahun penduduk kampung ini menanti untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya menjadi realiti dimana ianya bukan sahaja memberikan kemudahan yang selesa kepada penduduk sekali gus mampu menjana sumber pendapatan melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang mereka usahakan,” katanya ketika di hubungi hari ini.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag Abu Bakar Gapar berkata sekitar 76 buah rumah mendapat kemudahan bekalan elektrik 24 jam iaitu 33 rumah di penampatan program Masej dan selebihnya 43 buah rumah di perkampungan yang disusun semula di kawasan tersebut.
Salah seorang penduduk, Masnah Aloi, dari kampung Balat berkata usaha kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk berhubung kemudahan itu nyata amat dihargai.
“Terima kasih kepada kerajaan khsusunya Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung kerana kami sudah menikmati bekalan elektrik 24 jam selepas sekian lama kami menunggu kemudahan asas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Balat, Sharin Abdul Rauf, berkata ketiadaan kemudahan elektrik sebelum ini memberi kesusahan kepada mereka yang tidak berkemampuan membeli enjin jana kuasa terbabit.
“Mereka yang tidak mampu hanya bergantung kepada pelita untuk menerangi rumah masing-masing pada waktu malam…
“Bekalan elektrik yang kini disalur ke kampung kami 24 jam sehari memberi nafas baharu kepada penduduk yang dahagakan kemudahan itu,” katanya.
Bagi Ketua Daerah Mengundi Balat, Jaafar Haji Suar, beliau gembira melihat rumah sudah ada bekalan elektrik yang sebelum ini bergantung dengan generator atau pelita sahaja.
Menurutnya, dia bersyukur masalah pendawaian elektrik yang tertangguh sejak sekian lama dapat diselesaikan dengan komitmen serta kesungguhan Ahli Parlimen Kinabatangan.
“Bekalan elektrik sangat membantu kami melakukan aktiviti harian dan lebih memudahkan anak-anak saya belajar mengulangkaji pada waktu malam, malah lebih seronok apabila ada kipas,” katanya.





