KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) mengesahkan akan bertanding di 55 kerusi Dewan Undangan Sabah (DUS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 akan datang, menjadikannya antara parti tempatan aktif dan bersedia menghadapi saingan politik negeri ini.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Anak Negeri, Jismit Japong, keputusan berani itu dibuat selepas menilai kekuatan jentera parti, sokongan akar umbi serta kesiapsiagaan calon di seluruh negeri.
“Kami percaya inilah masa terbaik untuk rakyat Sabah memilih sebuah parti tempatan yang benar-benar memperjuangkan hak negeri ini tanpa bergantung kepada parti luar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jismit berkata, Anak Negeri kini menumpukan kepada beberapa teras utama manifesto, antaranya pemulihan hak 40 peratus hasil Sabah, pemberian subsidi minyak RM1 seliter kepada rakyat.
Seterusnya, pembinaan hospital di setiap kawasan Parlimen, serta penyediaan pendidikan dan perumahan percuma untuk rakyat.
Beliau menegaskan bahawa manifesto tersebut bukan sekadar janji politik, sebaliknya pelan tindakan realistik yang mampu dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri dibentuk berasaskan semangat perjuangan sebenar rakyat Sabah.
“Kita mahu mengembalikan maruah dan kuasa rakyat Sabah. Anak Negeri bukan parti kecil, kami adalah gerakan rakyat yang membawa mesej perubahan dan kebangkitan sebenar,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jismit memaklumkan bahawa parti tersebut turut menerima penyertaan ramai anak muda dan golongan profesional yang mahu melihat politik Sabah bebas daripada pengaruh pusat dan kembali kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami tidak mahu Sabah terus menjadi pemerhati kepada keputusan yang dibuat di Putrajaya. Masa untuk rakyat negeri ini menentukan nasib sendiri sudah tiba,” katanya.
Anak Negeri dijangka mengumumkan senarai penuh calon tidak lama lagi, termasuk beberapa tokoh berprofil tinggi yang bakal mewarnai saingan sengit dalam PRU kali ini.






