KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH), Tn. Haji Yahya Haji Ahmad, mengajak rakyat menjauhi budaya suka menyebar berita palsu.
Dalam sebuah kenyataan beliau menasihati masyarakat untuk menjaga iman dan diri dari termakan hasutan berita yang sumbernya jahat.
“Mereka yang berniat jahat menggunakan pengaruh media dan menyalah guna teknologi atas sesuatu kepentingan sangat jelas tidak beragama…
“Jangan jadikan kemudahan dan alat kemajuan menghalalkan segala cara,” katanya.

Yahya menentang budaya tersebut yang dicapnya sebagai jijik dan sebuah penyakit.
“Ini akan membuat politik jadi kotor dan mengabai keutamaan negara. Golongan anak muda harus berhati – hati bila didatangi berita yang belum pasti kesahihannya…
“Jangan libatkan diri sebagai penyebar. Membiarkan perbuatan ini berleluasa akan membawa kesan buruk buat keharmonian dan keutuhan negara.
Katanya maruah, martabat baik individu, rakyat dan negara akan runtuh langsung membawa kepada impak dendam, perbalahan dan ketidak stabilan pandangan.
“Ini akan menyukarkan pencapaian aman damai dan kita akan lebih jauh dari payung rahmat Allah. Ia sebuah kerugian besar buat kita semua,” tambahnya lagi.