KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah yang berada di Semenanjung masih dibenarkan merentas negeri jika mahu pulang ke negeri ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, demikian menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun
Beliau berkata, mereka hanya perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan diguna pakai sebelum ini untuk rakyat Sabah yang perlu ke Semenanjung untuk urusan kerja.
“Setakat ini, tiada larangan dikenakan untuk mereka yang mahu pulang ke Sabah, begitu juga mereka yang ingin ke Semenanjung atas urusan kerja, boleh berbuat demikian.
“Syaratnya, mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum ini iaitu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum bertolak dan mendapatkan kebenaran polis untuk merentas negeri,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.
Masidi yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah turut memaklumkan Kerajaan Negeri Sabah ketika ini sedang mempertimbangkan cadangan untuk memberi kelonggaran pergerakan dalam radius lebih 10 kilometer (KM) sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP ini.
Beliau berkata buat masa ini, kerajaan negeri menyerahkan kepada pasukan keselamatan untuk melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) seperti diputuskan sebelum ini bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP.
“Bagaimanapun, orang ramai yang perlu membuat perjalanan penting boleh mendapatkan kebenaran polis untuk rentas daerah,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali sebelum ini mencadangkan agar Kerajaan Negeri Sabah membenarkan pergerakan dalam radius lebih 10KM setelah mengambil kira keadaan negeri itu yang luas termasuk di pedalaman yang memerlukan penduduknya bergerak melebihi jarak tersebut untuk membeli barangan keperluan.
Mengulas lanjut perkara itu, Masidi berkata PKP di Kota Kinabalu merangkumi tiga (3) kawasan termasuk Penampang dan Putatan, oleh itu tidak ada SJR di kawasan berkenaan kerana ia dikategorikan sebagai satu daerah.