Remaja 13 Tahun Jadi Mangsa Rabies Pertama di Sarawak Bagi Tahun 2025

Remaja 13 Tahun Jadi Mangsa Rabies Pertama di Sarawak Bagi Tahun 2025

0
SHARE

KUCHING: Sarawak mencatatkan kes jangkitan rabies pertama bagi tahun 2025, melibatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kuching.

Mangsa dipercayai digigit oleh seekor kucing liar pada minggu lalu, dan mula menunjukkan gejala seperti demam, hilang selera makan, muntah, halusinasi, meracau, sukar berjalan, dan kesukaran menelan air pada 21 Mei. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Kes ini menambah kepada rekod keseluruhan 83 kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak wabak ini diisytiharkan pada Julai 2017, dengan 76 kematian, namun, tiada kematian dilaporkan setakat tahun ini.

Susulan insiden ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mengarahkan semua pemilik haiwan peliharaan dalam radius satu kilometer dari kawasan terjejas untuk segera memberi vaksin rabies kepada haiwan mereka. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM2,500 di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

DVSS juga telah mengadakan program vaksinasi percuma, pelesenan anjing, dan penanaman mikrocip di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan pada 12 April dan di Balai Raya Desa Wira pada 26 April dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Pada Mac 2025, Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak (SVDL) mengesan 11 kes baharu positif rabies, dengan beberapa insiden gigitan melibatkan anjing terbiar dan peliharaan yang berkeliaran bebas di daerah Kuching, Padawan, dan Bau. Lokasi terjejas termasuk Kampung Sejijak, Batu Kawa, Kampung Surih Stapok, Kilang MJC Batu Kawa, Jalan Stephen Yong, Jalan Penrissen Padawan, Jalan Sebuku Buso, Pekan Paku Bau, Jalan Bau Lama, Kampung Nyabut Trombol, Taman Hillside Matang, dan Taman Desa Sejijak.

Sejak pengisytiharan wabak pada 2017, sebanyak 82 kes rabies dalam kalangan manusia telah dilaporkan, dengan 75 kematian. Pada tahun 2024, sebanyak 114 daripada 822 sampel haiwan diuji positif rabies. Kes tertinggi direkodkan di Kuching dengan 74 kes, diikuti Bintulu (14), Samarahan (8), Serian (6), serta empat kes masing-masing di Sri Aman, Kapit, dan Mukah.

Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies. Segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar oleh haiwan, termasuk haiwan peliharaan sendiri. Vaksin anti-rabies boleh didapati di 130 buah Post-Bite Clinic di kemudahan kesihatan awam dan di 29 buah fasiliti swasta di seluruh Sarawak.

Kerajaan Sarawak mensasarkan untuk menghapuskan wabak rabies di Pulau Borneo menjelang tahun 2030 melalui pelbagai program dan kerjasama antara agensi kerajaan dan masyarakat.