Remaja Perempuan 15 Tahun Bersama Dua Lelaki Ditahan, Terlibat Kes Pecah Pejabat...

Remaja Perempuan 15 Tahun Bersama Dua Lelaki Ditahan, Terlibat Kes Pecah Pejabat Felda

0
SHARE

TAWAU: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bersama dua lelaki tempatan diberkas susulan kejadian pecah masuk sebuah pejabat di Felda Umas 1, pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang remaja perempuan warga asing yang berjaya ditahan selepas cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Tangkapan dilakukan hasil maklumat dan tindakan pantas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau dengan kerjasama penduduk dan pekerja Felda.

“Susulan itu, tangkapan kedua dilakukan pada jam 5.10 petang di sebuah rumah di Blok 5, Felda Umas, membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun, manakala tangkapan ketiga pula menyusul di hadapan salah sebuah pasar raya di Jalan Utara, Tawau membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu satu laporan polis telah dibuat oleh pengurus ladang di Balai Polis Kalabakan pada Khamis kira-kira jam 9.09 pagi berkaitan kejadian pecah masuk pejabat yang disedari oleh seorang pekerja ladang dan memaklumkan kepada pengurus pejabat.

Katanya, hasil siasatan mendapati pagar pejabat didapati rosak dan terbuka, manakala beberapa barangan seperti sebuah komputer riba, satu pembesar suara, satu telefon pintar dan token perbankan turut dilaporkan hilang, anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.

“Kes sedang giat disiasat dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat suspek lain yang terlibat. Siasatan lanjut masih diteruskan,” tambah ACP Jasmin.