Ribut Petir Berterusan Sehingga Minggu Depan

Ribut Petir Berterusan Sehingga Minggu Depan

0
SHARE
Pasukan bomba meninjau keadaan jalan di kawasan Tanjung Lipat yang dinaiki air laut...

KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa tempat di Sabah akan terus dilanda ribut petir sehingga Khamis (29 Dis) depan menurut ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini dalam satu amaran untuk berwaspada.

Katanya kawasan terlibat ialah Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong diberikan amaran Bahaya.

Hujan lebat berterusan telah menyebabkan sebuah pokok ara tumbang dan menghempap 3 buah rumah sambil membunuh seorang wanita berusia 55 tahun, di Kampung Laut, Kinarut, Papar…

Hujan bermula seawal pukul 3 petang Khamis bagi sesetengah tempat seperti di Kampung Laut, Kinarut, Papar di mana sebuah pokok ara tumbang menghempap 3 buah rumah sambil membunuh seorang wanita berusia 55 tahun.

Mangsa dikenal pasti sebagai Katizah Juani menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah.

“Pasukan bomba bertindak memotong pokok tersebut menggunakan gergaji berantai dan mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di tempat kejadian. 

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya. Setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 5.29 petang,” katanya.

Kesan amukan cuaca turut dilihat di kawasan pesisir pantai. Pada jam 4 petang hari yang sama, ombak kuat mula membanjiri Jalan Tanjung Lipat menghala ke Likas dengan air masin.

Ia mengakibatkan sebuah kenderaan Toyota Hilux termasuk ke dalam parit selepas bangunan Sabah International Convention Centre (SICC), sini. Pemandunya dilaporkan selamat namun telah meninggalkan keretanya di lokasi.

Beberapa rumah di pesisir pantai rosak akibat fenomena ombak kuat dan air pasang tinggi…

Tiga buah rumah atas air juga telah roboh masing-masing di Kg Salimpodon Laut, Pitas, Tanjung Aru Baru dan Sri Aman di Kudat yang dilanda ribut pada sekitar jam 7 hingga 10 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan PGO.