Risau Masa Depan Perniagaan, Peniaga Melaka Gesa Calon Dan Jentera Pilihan Raya...

Risau Masa Depan Perniagaan, Peniaga Melaka Gesa Calon Dan Jentera Pilihan Raya Patuhi SOP

0
SHARE

MELAKA – Peniaga Melaka terutamanya di kawasan bandar raya bersejarah ini menggesa semua jentera parti, calon dan pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam keghairahan berkempen beberapa hari sebelum hari mengundi pada Sabtu ini, bagi mengelak kluster baharu COVID-19.

Memetik laporan BH, gesaan mereka juga disebabkan rasa bimbang terhadap perlaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) terpaksa dikuat kuasa semula akibat daripada pelbagai pelanggaran SOP ketika kempen PRN Melaka ketika ini.

Ini akan menyebabkan perniagaan terhenti semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir kelak.

Penjual sate, Mohd Sham Rahman, 54, berkata dalam keghairahan berkempen golongan terbabit perlu menjaga norma baharu, termasuk larangan berkumpul sehingga boleh mencetuskan kluster baharu.

“Sebagai peniaga, saya bimbang PKP dikuatkuasakan semula selepas negara menuju pemulihan dengan peniaga dapat membuka semula perniagaan…

“Menjelang beberapa hari lagi pengundian, situasi semasa dilihat semakin getir terutama semua parti bertanding membuat pecutan terakhir bertemu pengundi sebelum tempoh kempen ditutup.

“Bagi peniaga, sudah pasti kami mengharapkan mereka menjaga SOP dengan konsisten dan mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Saridah Sarip, 58, pula berkata peniaga juga bimbang aktiviti perniagaan, ekonomi dan sosial terpaksa ditutup jika pandemik COVID-19 kembali merebak selepas berakhir pilihan raya itu.

“Justeru, saya amat mengharapkan semua pihak mematuhi SOP bagi kebaikan bersama serta langkah pencegahan bagi mengelak wabak berulang,” katanya.

Pengerusi Kelab Generasi Positif Melaka, Adha Abdullah, pula berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu semua pihak akur dengan SOP dikeluarkan SPR dan agensi berkaitan.

“Jika berlaku juga perlanggaran SOP, dibimbangi aktiviti harian kembali tersekat sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga dan penduduk di negeri ini,” katanya.