RM116.8 juta diperuntukkan biayai PRN17 Sabah

RM116.8 juta diperuntukkan biayai PRN17 Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, 16 Oktober – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan sebanyak RM116.8 juta membiayai pelaksanaan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung pada 29 November depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu merangkumi pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya termasuk pelantikan seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO bagi mengendalikan proses demokrasi itu di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, SPR juga akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Katanya, tempoh berkempen ditetapkan berlangsung selama 14 hari bermula bermula 15 November hingga jam 11.59 malam, 28 November, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17, manakala sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran. PRU DUN Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas SPR berhubung PRN17 Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

PRN17 Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 6 Oktober lalu.

SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya pada hari sama.

Ramlan mengumumkan tarikh penamaan calon pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pada 29 November.

Beliau berkata, seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini mengikut Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober.

“Ia mengandungi mengandungi seramai 1,784,843 orang pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 orang tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Daftar pemilih bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 dijadualkan akan mula dijual pada 1 November 2025 (Sabtu).