Isu Parti Lokal vs Parti Luar Bukan Masalah Utama Sabah – Penyelidik...

Isu Parti Lokal vs Parti Luar Bukan Masalah Utama Sabah – Penyelidik UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU, 16 Oktober — Isu sama ada Sabah harus ditadbir oleh parti lokal atau parti luar bukanlah persoalan utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah.

Penyelidik Geopes Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Haryati Abdul Karim berkata tumpuan sebenar sepatutnya diberikan kepada isu pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi yang masih membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama.

“Jawapannya ialah tidak. Persoalan sebenar yang menghantui rakyat Sabah bukan soal parti lokal atau luar, tetapi masalah asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan taraf pendapatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, menjelang PRN ke-17, naratif anti-parti luar kembali hangat dimainkan di media sosial dan kempen politik oleh beberapa parti lokal yang mengaitkan undi kepada parti tempatan sebagai simbol autonomi dan kebebasan menentukan hala tuju negeri.

Jelasnya, slogan seperti “Sabah for Sabahan” dan “Rumah Kita, Kita Jaga” kembali digunakan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas mereka keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dipercayai berkait isu agihan kerusi antara parti lokal dan parti luar.

Namun, beliau menjelaskan bahawa Sabah tidak boleh berdiri sendiri tanpa hubungan dengan kerajaan Persekutuan atau parti luar, memandangkan banyak aspek pembangunan negeri masih bergantung kepada peruntukan dan kerjasama kerajaan pusat.

Beliau turut menegaskan bahawa sejarah politik Sabah telah membuktikan negeri itu pernah diperintah sepenuhnya oleh parti-parti lokal seperti USNO, Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) antara tahun 1963 hingga 1994, sebelum UMNO dibawa masuk pada 1990.

“Selepas kemasukan UMNO, pemerintahan Sabah menjadi gandingan antara parti lokal dan nasional, dan hasilnya pembangunan negeri tetap berjalan walaupun tidak setara dengan negeri-negeri maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Dr Haryati turut menarik perhatian terhadap isu kemiskinan dan pendapatan rendah yang masih menghantui rakyat Sabah, di mana 30.8 peratus isi rumah berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,999 sebulan berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Perangkaan.

Beliau menyeru pengundi agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik semata-mata, sebaliknya memilih parti yang menawarkan pelan pembangunan realistik dan berwawasan.

“Naratif undi parti lokal, tolak parti luar tidak lagi relevan. Rakyat Sabah memerlukan kepimpinan yang pragmatik dan berani membawa perubahan,” katanya.