KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Dua Ahli Parlimen (MP) UMNO di Sabah bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta sekiranya mereka bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menjelaskan bahawa kedua-dua wakil rakyat terbabit tertakluk kepada bon perjanjian yang ditandatangani bersama parti sebelum mereka menerima watikah calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Jika mereka keluar daripada parti dengan maksud bertanding mewakili GRS, dengan sendirinya kontrak yang mereka tandatangani dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terpakai.
“Ini bermakna mereka kena membayar balik ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada parti. Itulah nilai bon perjanjian dan ganti rugi yang sudah dipersetujui serta dimeterai di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebelum menerima watikah calon Parlimen dalam PRU lalu,” katanya kepada BH, di sini semalam.
Difahamkan, isu membabitkan dua Ahli Parlimen UMNO di Sabah itu timbul susulan desas-desus kemungkinan mereka akan bertanding di bawah gabungan GRS yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebelum ini dilaporkan berkata gabungan itu tiada halangan untuk menerima Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy untuk bertanding dalam PRN Sabah.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah menyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, manakala Andi Muhammad Suryady yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Pembantu Menteri Interim Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, pula penyandang kerusi DUN Tanjung Batu.
Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun sejak awal 2023 selepas menentang keputusan UMNO Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan GRS yang mencetuskan kemelut politik dinamakan Langkah Kinabalu pada Januari 2023.
Bagaimanapun sekiranya bertanding atas tiket GRS, kedua-dua mereka perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana ia dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).






