Pandelela Raih Emas Dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA Tokyo

Pandelela Raih Emas Dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA Tokyo

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Penerjun negara Pandelela Rinong meraih pingat emas dalam acara 10 meter (m) platform individu di Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA di Tokyo, malam tadi.

Pandelela yang sedang dalam persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini mengungguli acara berkenaan selepas meraih 355.70 mata.

Ia adalah emas pertama buat skuad negara dan penerjun itu di kejohanan Piala Dunia di mana ia adalah kejohanan terakhir buat atlet memburu tempat ke temasya Olimpik Tokyo.

Walau bagaimanapun, Pandelela telah mengesahkan tempat ke Olimpik dalam acara berkenaan ketika beraksi di Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan tahun lalu dan emas itu dianggap sebagai satu bonus buat dirinya untuk menilai prestasi selepas hampir setahun tanpa sebarang pertandingan.

Penerjun tuan rumah, Matsuri Arai berada di tempat kedua dengan 342.00 mata, manakala Caeli McKay dari Kanada melengkapkan pentas podium dengan 338.55 mata.

Sebelum itu, seorang lagi wakil negara dalam acara berkenaan, Cheong Jun Hoong terkandas di pusingan separuh akhir.

Jun Hoong yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam acara berkenaan selepas mara ke separuh akhir semalam, melengkapkan saingan separuh akhir di tempat ke-18.

Jun Hoong merekodkan 237.35 mata manakala Pandelela berada di tangga ketika terbaik pada saingan separuh akhir dengan 333.00 mata.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan tahniah kepada Pandelela atas kejayaan membanggakan itu.

“Tahniah @Pandelela_R!! Kejayaan ini terus menyemarakkan semangat kita semua sebelum acara yang terbesar tahun ini. So so proud of you Pandelela (sangat berbangga dengan kamu Pandelela),” tulis Reezal di akaun Twitter.

Sumber Foto; Twitter milik Reezal Merican…