Bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Didapati Bersalah Atas 12 Pertuduhan Pengubahan...

Bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Didapati Bersalah Atas 12 Pertuduhan Pengubahan Wang Haram

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63 didapati bersalah ke atas 12 pertuduhan babit pengubahan wang haram yang dilakukan sejak tahun 2005 hingga 2016 dan kes yang terbesar setakat ini membabitkan jabatan tersebut.

Keputusan itu dibuat Hakim Abu Bakar Manat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di Mahkamah Sesyen Rasuah di sini, hari ini.

Manakala isterinya, Fauziah Piut, 61 dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72 telah dilepas dan dibebaskan masing-masing daripada 19 dan 4 pertuduhan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Ag Mohd Tahir dituduh bersalah di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 kerana memiliki harta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Ansari Abdullah, manakala Lim diwakili Datuk Tan Hock Chuan bersama pasukannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 28 Disember 2016.