Sabah Bakal Tubuhkan CMVT ATM Bagi Percepatkan Proses Vaksinasi COVID-19

Sabah Bakal Tubuhkan CMVT ATM Bagi Percepatkan Proses Vaksinasi COVID-19

0
SHARE
Menteri Kanan Pertahanan Negara Datuk Seri Ismail Sabri menyantuni warga Kem Lok Kawi di salah satu stesen vaksin pandu lalu (drive-thru)...

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah bakal tubuhkan Combat Medic Vaccination Team Angkatan Tentera Malaysia (CMVT ATM) bagi mempercepatkan proses vaksinasi COVID-19 kepada penduduk kawasan pedalaman.

Menteri Kanan Pertahanan Negara (MINDEF) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ATM dan Kerajaan Sabah akan berganding bahu dalam misi tersebut sama seperti dilakukan di Sarawak.

“Ini kerana perjalanan masuk ke luar bandar sini sukar dan memakan masa yang lama…

“Dengan kewujudan CMVT, penduduk kawasan pedalaman tidak perlu keluar divaksin tetapi kita yang ke tempat mereka,” katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri…

Pasukan khas terbabit akan membantu dari segi logistik menggunakan trak atau helikopter milik ATM.

“Senarai panjang melibatkan 132 perkampungan diperolehi dari Kerajaan Sabah dan kita akan duduk bersama untuk mengenal pasti dan mengatur keperluan…

“Kita tidak mahu ada kampung yang tercicir,” kata Ismail.

Jelas beliau, setakat ini 272 orang penduduk di Long Pasia, Sipitang telah divaksin dan pihak perubatan akan terus digerak ke Inarad di Tongod dan Telupid pada 20 Julai.

Katanya Long Pasia berpenduduk kira-kira 500 orang tapi ramai yang belum diberikan dos vaksin disebabkan laluan masuk yang mencabar.

“Difahamkan juga terdapat kumpulan anti-vaksin yang mempengaruhi penduduk supaya tidak keluar…

“Kita fokus pada kawasan pedalaman kerana jika ada satu pun jangkitan, ia akan merebak dan bagi mendapatkan rawatan adalah agak sukar dan lambat.

“Jika perlu tunggu beberapa hari pasti seluruh kampung akan dijangkiti virus tersebut,” jelas Ismail.

Dalam satu sidang media di Kem Lok Kawi hari ini Ismail Sabri juga berkata dia telah mengarahkan Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Halim Khalid untuk ATM Sabah membuat lawatan rumah ke rumah penduduk kampung supaya mereka divaksin.

Ismail ditemui ketika melawat Program Vaksin Pandu Lalu (Drive-Thru) yang menyasarkan imuniti kelompok 8065 warga Kem Lok Kawi petang tadi.

Datuk Seri Ismail Sabri menyantuni warga Kem Lok Kawi di salah satu stesen vaksin pandu lalu (drive-thru)…

Beliau mejelaskan 5000 dari angka tersebut terdiri daripada anggota tentera dan yang lain-lain, kakitangan awam dan keluarga.

“Lebih 4800 anggota tentera telah divaksin dan suntikan hari ini melibatkan 6500 orang. Kadar vaksinasi tentera di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia…

“Ini kerana Sabah mempunyai 11,000 askar mengawasi medan darat, udara dan laut dan 10,400 dari mereka telahpun disuntik iaitu bersamaan dengan 95 peratus keseluruhan. Askar veteran yang berumur 60 ke atas yang belum divaksin pun kami akan senaraikan.

“Sekarang kita tinggal menyuntik 600 lagi dos vaksin bagi mencapai 95 peratus imuniti kelompok seluruh anggota askar di Sabah,” kata Ismail.

Dia mengingatkan bahawa askar juga adalah pekerja barisan hadapan negara apabila dihadapi ancaman dan jikalau mereka dijangkiti virus COVID-19 maka pergerakan mereka akan terhalang.

Katanya lagi kaedah pandu lalu ini agak berkesan dan jika Kerajaan Sabah melalui Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 memerlukan bantuan melaksanakan operasi sedemikian MINDEF sedia membantu.

“Ini termasuk menggunakan Kem Lok Kawi sebagai pusat vaksin. Yang penting adalah kita membantu Kerajaan Sabah meratakan lekukan tularan kes jangkitan COVID-19,” katanya lagi.