KOTA KINABALU: Sabah berpotensi besar membantu membangunkan industri pelaburan khususnya dalam usaha menarik pelabur asing.
Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat cabaran dalam industri yang perlu ditangani seperti masalah infrastruktur.
Justeru itu, beliau memaklumkan, kementeriannya telah bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan agensi yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Yang penting ialah, kita dapat lihat Sabah ini dari segi infrastrukturnya, kerana pelabuhan seperti di Sepanggar pun sudah nampak semakin aktif.
“Maka isunya hanya dua, pertama kita kena pastikan bekalan tenaga elektrik ini terus dapat dibekalkan seperti apa yang diperlukan oleh pelabur yang beroperasi di sini dan keduanya adalah infrastruktur.
“Oleh itu, pihak kita bersama kerajaan negeri Sabah akan terus memberi perhatian kepada meningkatkan tahap infrastruktur, logsitik dan sebagainya supaya syarikat yang datang melabur di negeri ini juga dapat meningkatkan untung serta pelaburan mereka di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuk media selepas menyempurnakan Majli Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO Penampang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, antara Kecenderungan pelabur asing untuk datang melabur ke negeri ini adalah kerana mereka melihat Sabah memiliki bakat dan tenaga kerja yang banyak selain dipengaruhi oleh faktor demografi.
“Faktanya, Sabah ini lebih dekat dengan negara China dan Korea berbanding Semenanjung, maka itu daripada segi demografi kalau kita perkukuhkan infrastruktur dan logisitik kita seperti di pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya akan lebih ramai lagi pelabur datang ke negara kita,” jelasnya.