KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan penurunan 28 kes daripada 287 kes pada Jumaat, namun wujud DUA (2) kluster baharu dilaporkan di Telupid dan Tawau membawa kepada 259 KES baharu positif COVID-19 kelmarin (Sabtu).
DUA (2) kes kematian juga direkodkan masing-masing di daerah Tawau dan Kota Kinabalu.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ‘Kluster Gambaron’ di Telupid, Sandakan adalah kluster tempat kerja yang mencatat dua (2) kes positif baharu pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes.
“Kluster indeks merupakan lelaki, 32, yang bergejala demam, batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei sebelum disahkan positif di Klinik Kesihatan Telupid pada Rabu…
“Saringan susulan mendapati lapan (8) kes di tempat kerja (Kg Gambaron) serta sekitar daerah Telupid dan satu (1) lagi kes di Sandakan,” katanya.
Berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial bersama kontak pada 22 Mei di sebuah kafe di Telupid.
Penularan kes juga disumbang oleh beberapa rakan sekerja kes indeks yang telah pulang ke kawasan berisiko tinggi (Tawau) untuk menyambut hari lebaran pada 07 hingga 16 Mei.
“Setakat ini, 136 individu telah disaring dan aktiviti saringan serta siasatan punca jangkitan masih lagi diteruskan.”
Bagi ‘Kluster Kampung Blok 31’ di Tawau pula, Masidi menjelaskan ianya ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan aidilfitri.
Kluster ini mula direkodkan apabila kluster indeks, seorang suri rumah, 71, disahkan positif COVID-19 melalui saringan selepas beliau meninggal dunia di Hospital Tawau pada 27 Mei.
“Susulan itu, saringan kontak rapat mendapati tiga (3) kes positif pada 30 Mei dan 21 kes baharu dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes…
“Aktiviti pengesanan kontak dan mengenalpasti punca jangkitan sedang giat dijalankan,” kata beliau.
Berikutan pencetusan kluster yang dikesan daripada majlis penghormatan terakhir semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri COVID-19 telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus untuk Pengurusan Kematian dan Penghormatan Terakhir Orang Bukan Islam semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) yang diperlaksanakan.
Masidi berkata ‘Kluster Pulutan Nabawan’ berkenaan mencatatkan peningkatan kes jangkitan yang tinggi dan merupakan insiden kedua selepas Kluster Sinsingon di daerah yang sama.
“Ini bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.”
Susulan penularan wabak COVID-19 di daerah Tawau yang kian meningkat Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk mengehadkan masa operasi bagi semua operasi perniagaan di daerah tersebut.
“Dengan mengambilkira juga situasi yang sedang berlaku di daerah Tawau, maka masa operasi bagi semua operasi perniagaan di daerah Kalabakan turut dihadkan,” kata Masidi.