Sabah Dilanda Banjir, 75 Mangsa Berlindung Di Tiga PPS

Sabah Dilanda Banjir, 75 Mangsa Berlindung Di Tiga PPS

0
SHARE
Tinjauan Bernama dari udara melalui helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar Buluh Kasap mendapati beberapa perumahan dan laluan masih terjejas dan ditenggelami air...(Sumber Foto: Bernama)

KUALA LUMPUR – Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan 75 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Beluran setakat jam lapan malam, semalam.

Memetik sumber Bernama, menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa banjir di Johor dan Pahang terus mencatatkan pengurangan kepada 617 orang di 12 PPS malam ini, berbanding 891 orang petang tadi.

Di Johor, sebanyak 456 orang berlindung di tujuh PPS dengan 136 mangsa di satu PPS di daerah Mersing, 124 mangsa di dua PPS di Kota Tinggi, 88 mangsa di dua PPS di Segamat, 85 orang di satu PPS di Kluang dan 23 mangsa di satu PPS di Batu Pahat.

Di Pahang, seramai 143 mangsa kekal ditempatkan di dua PPS di Rompin, manakala 18 orang di satu PPS di Pekan.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Kedah, Selangor dan Terengganu berada pada paras bahaya semalam.

Di Johor, sungai terbabit ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Muar di Segamat dan Sungai Endau di Kluang; di Pahang membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin; Sungai Perak di Hulu Perak (Perak), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Klang (Selangor) dan Sungai Terengganu di Kuala Terengganu (Terengganu).

Sementara itu, NADMA memaklumkan 46 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang; dan Jalan Bukit Besi – Dungun di Dungun, Terengganu.

NADMA turut memaklumkan 47 orang daripada 12 keluarga kekal berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah, manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak susulan insiden kebakaran.