KOTA KINABALU: Sabah terus mencatat momentum pertumbuhan ekonomi positif dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM84.30 bilion pada 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemacu ekonomi bernilai tinggi negara.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, perkembangan itu dipacu sektor pelancongan yang berkembang 4.2 peratus bernilai RM13.7 bilion, selain penerokaan Ekonomi Biru yang membuka peluang baharu dalam sektor bernilai tinggi.
Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bersama inisiatif TERAJU kini memberi tumpuan khusus kepada Sabah bagi mempercepat penskalaan syarikat Bumiputera serta meningkatkan penyertaan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
“Fokus kini bukan lagi sekadar penyertaan, tetapi penciptaan nilai melalui peningkatan kapasiti syarikat, produktiviti dan rantaian nilai ekonomi,” katanya ketika Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Dalam konteks semasa, TERAJU terus memperkukuh ekosistem perniagaan Bumiputera di Sabah melalui pelbagai inisiatif pembiayaan dan pembangunan kapasiti, termasuk kelulusan RM86.87 juta kepada 85 syarikat bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Sejak 2014, sebanyak RM187 juta telah disalurkan kepada 71 syarikat menerusi Dana Mudah Cara, manakala program lain seperti TERAS, Dana Kemakmuran Bumiputera dan DPUB turut memperluas peluang pekerjaan serta memperkasa usahawan tempatan.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Dana Penskalaan Bumiputera Sabah & Sarawak (BSSF) serta pemeteraian kerjasama strategik yang dijangka memberi impak langsung kepada pertumbuhan syarikat Bumiputera di negeri ini.
Beliau menegaskan, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam sektor bernilai tinggi dan TERAJU akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin bagi memastikan syarikat Bumiputera mampu “naik kelas” serta menyumbang lebih signifikan kepada ekonomi negeri dan negara.






