KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri mempunyai pilihan untuk melantik seorang pentaksir bebas sekiranya rundingan berkenaan tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini jika rundingan gagal mencapai sebarang persetujuan.
Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun berkata menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 18 Julai lalu, keputusan meneruskan rundingan bagi memuktamadkan formula pemberian khas telah dicapai.
“Tempoh masa rundingan adalah satu tahun bermula daripada tarikh mesyuarat ini iaitu 18 Julai. Lanjutan daripada itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri
Sabah bagi tujuan menyemak dan memuktamadkan nilai amaun pemberian khas.
“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri berhadapan dengan cabaran dan kekangan dalam pengiraan amaun pemberian khas ekoran data kewangan kerajaan Persekutuan yang tidak lengkap,” katanya.
Mengulas lanjut, Masidi berkata selain pelbagai kaedah dilakukan bagi mendapatkan data terbabit, pihaknya juga telah mengemukakan lapan surat permohonan perkongsian data kepada kerajaan Persekutuan sejak Januari tahun 2022.
“Namun kerajaan Persekutuan masih belum membekalkan data sehingga kini kecuali daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
“Oleh itu, jawatankuasa telah mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk membuat tuntutan secara berfasa
dengan strategi rundingan yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa TMTPMA63.
“Seperti yang pernah ditekankan sebelum ini, kerajaan negeri Sabah berpegang teguh untuk mengekalkan formula asal pemberian khas seperti yang termaktub di Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag-UMNO) dan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian-UPKO) berkenaan tuntutan 40 peratus itu, semalam.
Dalam pada itu, Masidi turut berkata sejak rundingan ke atas amaun pemberian khas ini dimulakan, kerajaan Persekutuan telah membayar RM125.6 juta pada tahun 2022 dan seterusnya RM300 juta pada tahun 2023.
“Ini dimana kerajaan negeri bersetuju
menerima bayaran tersebut sebagai penyelesaian secara interim,” katanya.