Sabah Putuskan Guna Pakai SOP Kemasukan COVID-19 Pengembara Asing Kerajaan Persekutuan

Sabah Putuskan Guna Pakai SOP Kemasukan COVID-19 Pengembara Asing Kerajaan Persekutuan

0
SHARE
Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memutuskan untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan berhubung kemasukan pengembara ke Malaysia berkuatkuasa, semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata keputusan terbabit dipersetujui selepas dibincangkan dalam satu mesyuarat yang diadakan, semalam.

Menurutnya, berdasarkan ketetapan terbabit, pihaknya akan mengetepikan keperluan sijil vaksinasi.

Selain itu, ujian COVID-19 dengan keputusan negatif juga tidak lagi diperlukan sebagai syarat untuk pengembara masuk ke negeri ini.

“SOP ini terpakai kepada pengembara domestik dan asing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah menetapkan syarat terhadap pengembara dari negara asing terutamanya China untuk mempunyai vaksinasi lengkap dan keputusan negatif ujian COVID-19 sebelum berlepas.

Sementara itu, Christina berkata, mesyuarat Kabinet negeri semalam turut meluluskan penubuhan Biro Konvensyen Sabah, merangkumi aspek visi, fungsi dan perkhidmatan yang dicadangkan bagi biro berkenaan.

“Visinya ialah untuk memastikan Sabah diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai satu daripada bandar raya terbaik dunia dalam penganjuran acara perniagaan.

“Ia juga untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi acara perniagaan yang dinamik yang mana orang ramai, teknologi dan idea digabungkan bagi mewujudkan nilai yang hebat kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, biro terbabit bakal memainkan peranan sebagai ‘one-stop-shop’ untuk mendapatkan maklumat dan bimbingan, khidmat nasihat perancangan dalam semua aspek penganjuran acara konvensyen dan perniagaan di Sabah.