
KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 15 kematian dilaporkan kelmarin (Isnin) di mana 1,728 KES baharu positif COVID-19 baharu dicatatkan.
LIMA (5) kes kematian masing-masing berlaku di daerah Kota Kinabalu dan Tawau manakala Sandakan, Penampang, Keningau, Tuaran dan Sipitang masing-masing dilaporkan satu (1) kes.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah itu berlaku peningkatan sebanyak 63 kes dari hari sebelumnya.
Menurutnya, seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dengan jumlah catatan sebanyak 955 kes atau 55 peratus (55%) daripada Saringan Kontak Rapat.
Dalam pada itu, satu kluster baharu, ‘Kluster Cenderawasih’ dikesan di Lahad Datu.
Kluster jenis penularan di tempat kerja ini melibatkan kes indeks, seorang lelaki, 39 tahun, yang disahkan positif pada 11 Ogos selepas bergejala sejak lima (5) hari sebelumnya.
Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap kontak rapat mengesan tujuh (7) lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak lapan (8) kes.
“Punca jangkitan masih dalam siasatan namun siasatan awal mendapati kontak-kontak rapat pernah melakukan aktiviti sukan bersama kes indeks,” jelas Masidi.

Kerajaan juga memutuskan enam (6) lokaliti di Tawau dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Ini termasuk Kampung Mentadak Baru di Pulau Sebatik, Kampung Sri Aman di Jalan Apas, Kampung Hidayat di Batu 4, Taman Semarak Jaya, Lorong Damai dan Lorong Haji Marzuki di Jalan Damai…
“Arahan ini berkuat kuasa bermula 18 sehingga 31 Ogos,” kata Masidi.