Sabah Terima Sumbangan Lebih 500,000 Keping Pelitup Muka Daripada SCCC Dan FJ...

Sabah Terima Sumbangan Lebih 500,000 Keping Pelitup Muka Daripada SCCC Dan FJ Manjung

0
SHARE
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Presiden Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC), Datuk Frankie CT Liew dan barisan ahli jawatankuasa SCCC ketika menyampaikan sumbangan pelitup muka dan beberapa keperluan lain untuk membantu menangani penularan pandemik COVID-19 di Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah hari ini menerima sumbangan lebih 500,000 keping pelitup muka daripada Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC) dan FJ Manjung Sdn Bhd untuk membantu menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima sumbangan itu sebagai mewakili Kerajaan Negeri Sabah yang disampaikan oleh Presiden SCCC, Datuk Frankie CT Liew dan Pengarah Kewangan FJ Manjung Sdn Bhd, Lee Jack Son, di pejabat beliau di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) sini.

Menerusi bantuan itu, FJ Manjung menyumbang sebanyak 500,000 pelitup muka manakala bantuan daripada SCCC turut membabitkan pelitup muka sebanyak 16,000 keping selain 200 botol cecair pembasmi kuman 60 mililiter (ml); 282 botol cecair pembasmi kuman 500 ml; termometer (20 unit); Handphone UV Sanitizer (20 unit) dan cermin mata keselamatan atau goggle (80 unit).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut menerima sumbangan pelitup muka daripada syarikat FJ Manjung Sdn Bhd yang diserahkan oleh Pengarah Kewangannya, Lee Jack Son…

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SCCC dan FJ Manjung dengan sumbangan dan bantuan yang telah diberikan kepada negeri dalam membantu memerangi pandemik COVID-19…

“Sumbangan ini juga akan diberikan ke semua daerah menerusi pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 di peringkat daerah masing-masing.

Kita berharap kes membabitkan pandemik ini dapat dikurangkan dan sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan segera,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melihat cecair pembasmi kuman yang antara disumbangkan oleh SCCC sambil diperhatikan oleh Presidennya, Datuk Frankie CT Liew…

Yang turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Timbalan Presiden SICC, Dato’ Soh Poh Soon dan dua Naib Presidennya iaitu Datuk Kevin Lim serta Chiew Heng Hock dan Setiausaha Agung SCCC, Ir Tan Kok Jyh.

Sempena majlis itu, SCCC turut memaklumkan mengenai usahasama antara bandar raya berkembar Kota Kinabalu dengan beberapa bandar raya di China selain turut memaklumkan usaha yang akan diambil bagi merangsang perniagaan dan perdagangan antara SCCC dengan pelabur dari negara China.

Frankie berkata bantuan dan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan SCCC kepada rakyat di negeri ini serta berharap kes COVID-19 dapat dikawal atau dikurangkan agar kehidupan kembali normal seperti sebelum ini.