SAREX Tingkatkan Tahap Kesiapsiagaan Carilamat Maritim

SAREX Tingkatkan Tahap Kesiapsiagaan Carilamat Maritim

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Selaku agensi yang menerajui fungsi mencari dan menyelamat maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah menganjurkan satu eksesais CARILAMAT ‘Search and Rescue Exercise (SAREX) Tier 2 – Table Top’ pada 13 dan 14 September lepas bertempat di Pejabat Zon Maritim Sandakan.

Penganjuran eksesais ini turut melibatkan wakil dari pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Taman-taman Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan, Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan Sabah Port Sdn Bhd dengan jumlah peserta seramai 100 orang.

SAREX merupakan latihan berjadual yang melibatkan kerjasama antara agensi dengan objektif utamanya ialah memperkasakan koordinasi diantara agensi dalam melaksanakan misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di laut.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam  Zon Maritim Sandakan, LK (M) Ardiansyah Johansyah, latihan simulasi SAREX tahap 2 ini dimulakan dengan kejadian sebuah kapal tangki yang membawa cecair berharga dilaporkan hilang di perairan Sandakan yang kemudiannya bertukar menjadi kejadian rompakan.

“Berdasarkan situasi tersebut, pihak Maritim Malaysia dan agensi yang terlibat telah diuji kepakaran dan kecekapan dalam mengendalikan operasi sebenar di samping kefahaman terhadap prosedur-prosedur carilamat…

“Disamping itu, SAREX kali ini juga amat bertepatan untuk semua agensi yang terlibat membuat persiapan bagi menghadapi Fasa Peralihan Monsun yang berkemungkinan menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu yang boleh mengakibatkan insiden tidak diingini berlaku di laut,” katanya.

Tambahnya, latihan-latihan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa agar kecekapan dan tindak balas daripada semua agensi carilamat sentiasa pada tahap yang tertinggi.