Segera Bentuk Majlis Pemulihan Negeri, Lancarkan Usaha Pemulihan Ekonomi – Muhyiddin

Segera Bentuk Majlis Pemulihan Negeri, Lancarkan Usaha Pemulihan Ekonomi – Muhyiddin

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin...

KOTA BHARU, KELANTAN  – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar Majlis Pemulihan Negeri dibentuk dengan segera.

Beliau berkata penubuhan majlis itu bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi membabitkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri.

Tambah beliau, cadangan penubuhan majlis itu diusulkan kepada kerajaan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin mencadangkan agar majlis pemulihan itu sebaik-baiknya diketuai Menteri Besar atau Pengerusi Jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab dalam soal ekonomi peringkat negeri masing-masing.

Jelas beliau, ini kerana soal pentadbiran dan perniagaan ada kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sewajarnya kerajaan negeri juga harus bertindak mengambil langkah-langah yang diperlukan untuk menyelesaikan pelbagai isu, malahan beri bantuan dan sokongan kepada mereka yang terkesan seperti peniaga, terutama usahawan kecil Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, lapor Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata aspek sedemikian jika tidak diberi tumpuan segera akan memberikan kesan besar, antaranya pertambahan kadar kemiskinan.

Berikutan pandemik COVID-19, semakin ramai golongan T20 memasuki kategori M40 dan begitu juga M40 dan B40 yang berubah status ekonomi mereka.

“Jelas terbukti bilangan yang sudah jatuh miskin sangat ramai. Sebahagian besar kategori itu orang Islam, termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak,” kata Muhyiddin.