KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes positif COVID-19 Sabah meningkat 35 kes dari sebelum ini (Ahad) yang mana membawa kepada jumlah 263 KES kelmarin (Isnin).
Dua (2) kluster baharu juga dikesan iaitu di Jalan Kayu Madang di Tuaran dan Lorong Berjaya masing-masing di Kota Kinabalu,
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penularan jangkitan kluster pertama tersebut berlaku dalam kalangan pekerja di C&F Enterprise Sdn Bhd, KKIP Selatan.
“Kluster ini dikesan apabila kes indeks, wanita, 31, Pegawai Kawalan Kualiti di syarikat tersebut disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun selepas bergejala demam dan hilang deria rasa sejak 27 Jun…
“Sebanyak 177 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil dan daripada jumlah itu, 11 kes termasuk lima (5) kes baharu didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala tujuh (7) kes lagi di daerah Tuaran menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini adalah 18 kes,” katanya.
‘Kluster Lorong Berjaya’ pula melibatkan jangkitan dalam kalangan kakitangan di premis perniagaan serta kuarters pembekal makanan beku Jetsin Sdn Bhd di Bandaran Berjaya.
“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki, 25, petugas khidmat pelanggan yang bergejala sejak 29 Jun sebelum dikesan positif dalam ujian saringan di Permai Poliklinik Bandaran pada 30 Jun…
“Setakat Isnin, sebanyak 104 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil dan daripada jumlah tersebut, lapan (8) kes dikesan positif termasuklah satu (1) kes baharu yang direkod pada hari ini,” jelas Masidi.
Hanya satu lokaliti baharu, di Tawau, Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ini.
“Selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, PKPD di kawasan itu berkuat kuasa 7 Julai sehingga 20 Julai,” kata Masidi lagi.