TAWAU, SABAH – Kesemua pemancing yang terlibat dalam kejadian bot terbalik di perairan Tinagat, sini, awal pagi semalam berjaya ditemui dan diselamatkan di kedudukan pada jam 1.10 petang.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi cari dan menyelamat (CARILAMAT) sekitar jam 8.40 pagi untuk mengesan dan mencari sembilan pemancing yang dikhuatiri lemas setelah bot dinaiki dilaporkan terbalik akibat melanggar objek terapung.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada Maritime Rescue Sub Centre(MRSC) Kota Kinabalu.
Sejurus menerima maklumat tersebut, bot ronda yang berada dalam sektor operasi telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan mengesan kedudukan sebenar bot yang dilaporkan.
“Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) turut dibuka di pantai Kampung Batu Payung bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terlibat…
“Kesemua mangsa ditemui selamat dengan hanya berpaut pada bot yang terbalik sebelum ditemui oleh anak kapal Oriental King yang berlabuh berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa warga tempatan berusia sekitar 30 ke 51 tahun seterusnya dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia dan dibawa ke PHC bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan diambil keterangan.
Siva berkata, menurut mangsa, kesemua mereka keluar untuk memancing dan tiba-tiba berlaku perlanggaran dengan objek terapung yang mengakibatkan bot tersebut terbalik lalu kesemua mereka tercampak ke laut.
“Komuniti maritim diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca buruk semasa menjalankan aktiviti di laut dan sentiasa menggunakan jaket keselamatan,” tegasnya.