Semua Calon BN Bertanding PRN Melaka Akan Tandatangan SD Elak Lompat Parti

Semua Calon BN Bertanding PRN Melaka Akan Tandatangan SD Elak Lompat Parti

0
SHARE
Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah)...

MASJID TANAH, MELAKA – Langkah awal dan berjaga-jaga dibuat oleh Barisan Nasional (BN) apabila mewajibkan semua calonnya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti selepas memenangi pilihan raya kelak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi tujuan itu pihaknya melalui peguam parti sedang membuat persiapan untuk membolehkan semua calon menandatangani SD sejurus selepas pengumuman rasmi calon PRN, esok.

“Kita sedang buat persiapan pasukan peguam untuk meneliti tahap kesetiaan semua calon bagi memastikan tiada lagi seseorang yang menang atas tiket BN melompat (keluar parti) bagi kestabilan politik di negara, terutamanya di Melaka…

“Langkah menandatangani SD perlu dilakukan kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum ada lagi akta atau enakmen lompat parti, maka kita terpaksa membuat aku janji ini.

“Beberapa lagi dokumen perjanjian lain akan ditandatangani semua calon esok dan satu daripadanya SD itu sebagai peringatan jika sudah menang pilihan raya nanti, jangan senang-senang nak lompat parti pula,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan DUN angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada UMNO Negeri Sembilan, di Kampung Pulau, di sini, semalam.

Turut hadir dalam program itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, turut mengesahkan 90 peratus (90%) calon muka baharu akan ditampilkan parti itu dalam membawa cabaran BN pada PRN kali ini.

Katanya, sebahagian daripadanya adalah calon muda yang berkelayakan serta mempunyai latar belakang politik dan pendidikan yang baik, sekali gus mampu menawan hati pengundi.

“Insya-Allah, mereka ini pun bukan sembarangan orang kerana mereka juga pemimpin di peringkat bahagian, tetapi mereka dahulunya duduk lama di bawah, jadi penyandang yang sudah berkhidmat kira-kira tiga penggal itu beri laluan kepada pemimpin pelapis di DUN masing-masing,” jelas beliau.

Sementara itu, Mohamad juga berterima kasih kepada semua penyandang kerusi yang tidak dicalonkan semula dalam PRN yang disifatkan berjiwa besar dan rela berundur bagi memberikan laluan kepada muka baharu.

“Langkah ini membolehkan kita melakukan proses meremajakan dan mentransformasikan parti seperti yang dihasratkan sebelum ini…

“Saya selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya BN mengambil peluang ini untuk menterjemahkan hasrat parti untuk melakukan proses peremajaan dengan perlu memberi peluang pelapis muda untuk mengambil tempat (sebagai calon) dalam pilihan raya,” katanya.