KOTA KINABALU, SABAH – Seorang merinyu kapal dari Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah mengaku tidak bersalah ke atas dua pertuduhan rasuah sebanyak RM30,000 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.
Sahiful Awang Ahmad, 48, dituduh menerima wang tunai sebanyak RM 20,000 daripada daripada pemilik syarikat Mulia Jelata Sdn Bhd berkaitan kerja-kerja tug bot di Pelabuhan Sepanggar Kota Kinabalu.
Tuduhan kedua Ketua Pejabat Gred N22 itu kerana menerima wang tunai RM10,000.00 daripada Syarikat Majorra Logistics Sdn Bhd bagi membantu mendapatkan surat kebenaran beroperasi bot tunda di Pelabuhan Kota Kinabalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dimana bagi pertuduhan pertama, Sahiful didakwa melakukan kesalahan itu pada September 2019 di perkarangan tempat letak kereta Bay 21, Jalan Bayu 21, Off Jalan Istiadat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan tersebut pada 11 November 2019 di Restoran Al-Fresco, Magellan Sutera Harbour.
Pertuduhan pertama dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Manakala pertuduhan kedua dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah telah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarahkan bagi melaporkan diri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh setiap dua bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Psk Rekraj manakala tertuduh diwakili peguam dari Shahlan Jufri & Co.