Program Ziarah Dekatkan Pemimpin Dan Rakyat – UPPM DUN Lamag

Program Ziarah Dekatkan Pemimpin Dan Rakyat – UPPM DUN Lamag

0
SHARE
Abu Bakar (duduk tengah) dan Haji Jibra (kanan) bertanya khabar ketika menziarahi Ketua Kampung Maarif Suliman yang kurang sihat di kampung Denau Ria...

KINABATANGAN, SABAH – Mewakili Datuk Seri Bung Moktar Radin, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Lamag yang diketuai Abu Bakar Gapar berterusan mengadakan program ziarah ke beberapa buah kampung di kawasan tersebut.

Abu Bakar berkata program ziarah merupakan program bulanan UPPM bukan sahaja kepada yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 tapi juga mereka yang dilanda musibah seperti kematian dan yang mengalami keuzuran.

Malah menurutnya program seperti ini dapat mendekatkan pemimpin dan masyarakat untuk berkongsi masalah serta kesedihan mereka yang ditimpa musibah.

“Program ini merupakan acara bulanan kami di UPPM sebagaimana yang dikehendaki oleh Wakil Rakyat Lamag bagi bertanyakan khabar penduduk di kawasan ini terutamanya golongan warga emas, kurang upaya, dan mereka yang ditimpa musibah seperti penyakit, kematian dan bencana alam,” katanya selepas melakukan beberapa program ziarah di kawasan DUN Lamag baru-baru ini.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Ketua daerah Kinabatangan, Haji Jibra Jahaya, ketua-ketua daerah dan juga kakitangan dari UPPM Lamag.

Rombongan UPPM Lamag yang diketuai oleh Abu Bakar semasa menziarahi seorang warga emas di Kampung Denau Ria…

Antara kampung yang dilawati adalah di Denau Ria bagi melawat ketua kampung Maarof Suliman yang kurang sihat, dan ke kampung Bilit bagi menziarahi keluarga Allahyarham Rusinah Sugarah yang meninggal dunia baru-baru ini.

Menurut Abu Bakar program turun padang ini selain bertanyakan khabar UPPM Lamag juga turut menyampaikan sumbangan dari Bung berupa kewangan dan keperluan barang dapur.

Tambah Abu Bakar melalui program ini juga UPPM dapat mengesan masalah serta keperluan penduduk di beberapa buah kampung yang dilawati selain memberikan penerangan tentang kebaikan Vaksin kepada mereka.

“Kita faham ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan COVID-19 memang memberikan kesan yang mendalam kepada mereka, justeru melalui program ini kita dapat mengesan mereka yang telepas pandang atau tercicir dari menerima bantuan,” tambahnya.