KOTA KINABALU, SABAH – Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) mengambil inisiatif mengadakan lawatan secara maya sepanjang pandemik untuk terus mempromosikan kempen kesedaran dan kerja-kerja konservasi hidupan liar di pusat itu.
Pengasas BSBCC Dr Wong Siew Te, berkata, mereka telah menawarkan lawatan secara maya sejak Mei 2020 bagi mendorong orang ramai untuk terus mengunjungi pusat itu walaupun aktiviti pelancongan dihentikan seketika.
“Lawatan maya ini mengambil masa satu jam, di mana pengunjung juga boleh melihat beruang madu secara dekat. Saya sendiri akan menunjukkan sekitar pusat kepada penonton dan membincangkan isu-isu biologi, ekologi, dan pemuliharaan beruang madu…
“Pengunjung juga boleh bertanyakan soalan sepanjang lawatan maya ini. Kos lawatan maya adalah RM40 dan mereka yang berminat boleh melayari laman web kami di www.bsbcc.org.my untuk mengetahui lebih lanjut,” kata Wong.
Walaupun kehilangan pengunjung secara fizikal disebabkan wabak COVID-19 yang berterusan, Wong berkata mereka mencari dan mengumpul dana dari orang ramai untuk memastikan pusat konservasi beruang madu terus beroperasi.
Pusat tersebut turut mendorong agensi pembiayaan untuk menyumbangkan dana, serta mendorong masyarakat umum untuk mengambil bahagian dalam program adopsi beruang madu mereka.
“Lawatan maya ini adalah pendekatan baru, tetapi tidak begitu popular yang saya harapkan. Walaupun begitu, kami terus melakukan yang terbaik untuk mendorong orang ramai menyokong inisiatif ini,” kata Wong.
Tambahnya, pusat itu juga mempromosikan penjualan barang cenderamata di laman webnya , Shopee, dan Lazada.
Pada masa ini, Wong berkata operasi BSBCC berjalan dengan baik dan semua beruang madu dibawah jagaan mereka berada dalam keadaan sihat.
Tahun lalu, tiga anak beruang madu yang diberi nama Betung, Itam, dan Kipaku diserahkan kepada pihak BSBCC selepas diselamatkan oleh Jabatan Hidupan Liar.
Ketiga-tiga beruang itu dijaga oleh orang kampung di Ranau (Bentung), Nabawan (Itam), dan Tambunan (Kipaku) sebelum diselamatkan.
“Setakat tahun ini, belum ada misi menyelamat beruang madu dan kami berharap semua beruang liar di dalam hutan selamat. Operasi penyelamatan beruang biasanya dilakukan oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar…
“Operasi masih diteruskan ketika waktu pandemik tanpa penangguhan. Misi penyelamatan adalah operasi penting bagi Jabatan Hidupan Liar, jadi tiada sebarang batasan dari segi tenaga kerja atau pergerakan,” kata Wong.
BSBCC adalah satu-satunya pusat konservasi beruang madu di dunia. Terletak bersebelahan dengan Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok di Sandakan, BSBCC kini menjaga 44 beruang yang diselamatkan, termasuk seekor anak beruang yang baru lahir.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB), dalam siri ‘Enchanting Sabah Live’, akan menampilkan pelbagai tarikan pelancongan di sekitar Sabah dan sesi webinar setiap hari Selasa melalui platform media sosial @sabahtourism.
Dikendalikan oleh pakar industri tempatan, penampilan pertama siri live ini adalah lawatan maya BSBCC yang dijadual bersiar secara langsung pada jam 2 petang, pada 13 Julai.
Pengurus Besar STB, Noredah Othman berkata, sesi live menjadi tren sejak tahun lalu dan beberapa pemain industri pelancongan telah mengadakan sesi masing-masing, dengan bantuan Pelancongan Sabah dalam mempromosikan inisiatif tersebut.
“Namun, usaha ini dihentikan seketika disebabkan perlaksanaan kawalan pergerakan yang tidak membenarkan aktiviti pelancongan untuk beroperasi…
“Walaupun pelancongan berjalan dalam jangka masa pendek, industri ini terlibat dalam memberi tindakan terhadap permintaan tinggi di kalangan pelancong tempatan.
“Sudah tiba waktunya kita mendapatkan semula momentum ini dengan harapan pembukaan semula pelancongan domestik pada suku terakhir tahun ini,” katanya.