KOTA KINABALU, SABAH – Seorang wanita meninggal dunia ekoran pertembungan kenderaan Perodua Alza dan Kancil di Jalan Tuaran Bypass, hadapan Dewan Kebudayaan di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan tiga (3) lagi mangsa yang terlibat mengalami cedera parah.
Panggilan kecemasan berhubung kes diterima Balai Bomba dan Penyelamat Lintas pada jam 1.10 pagi.
“Kenderaan Perodua Kancil dipandu lelaki berumur 23 tahun bersama dua (2) penumpang wanita manakala Perodua Alza dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun,” katanya.
Mangsa maut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dilokasi kemalangan.
“Kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 menggunakan jentera EMRS dan Ambulan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” tambah sumber itu.
Mangsa meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 2.34 pagi.





