TAWAU: Polis menahan seorang tukang cat warga asing disyaki terlibat dalam kes mencederakan dan mengugut bunuh seorang lelaki tempatan dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, pada September lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 30 tahun didatangi seorang lelaki tidak dikenali kira-kira jam 8.30 malam yang bertanyakan mengenai individu dipercayai memukul adik suspek.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak agresif dengan menendang betis kanan mangsa sebelum melibas objek tajam ke arah mangsa, menyebabkan kecederaan di bahagian dada kanan, selain mengeluarkan ugutan bunuh.
“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air, Batu 4 Jalan Apas, kira-kira jam 6 petang semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga asing yang bekerja sebagai tukang cat dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan menggunakan senjata, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar batas undang-undang dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.






