Shafie Tolak Spekulasi Ada Bentuk Pakatan Dan Sahkan Warisan Akan Tanding Solo...

Shafie Tolak Spekulasi Ada Bentuk Pakatan Dan Sahkan Warisan Akan Tanding Solo PRN17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak spekulasi kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain, sambil menegaskan bahawa Warisan adalah parti berbilang kaum yang mewakili semua rakyat Sabah.

“Kami akan bertanding sebagai satu parti, dan pakatan kami adalah dengan rakyat,” katanya seperti dilaporkan The Star. 

Menurut Shafie, parti berbilang kaum seperti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah memenangi pilihan raya Sabah dan membentuk kerajaan negeri sebelum ini.

“Kerajaan satu parti bukan sesuatu yang baharu bagi Sabah dan rakyatnya. Kami (Warisan) mungkin tidak mempunyai sumber kewangan, tetapi kami menawarkan diri kepada rakyat,” katanya.

Pengumuman ini dibuat selepas Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang.

Pada Mac tahun lalu, Shafie pernah mendakwa Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, bersetuju untuk bekerjasama bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji Noor.

Kehadiran Bung Moktar di perhimpunan agung Warisan sebelum ini turut mencetuskan spekulasi mengenai pakatan rasmi antara Umno Sabah dan Warisan. Bagaimanapun, Umno Sabah bulan lalu menegaskan bahawa tiada perbincangan rasmi dengan Warisan mengenai kerjasama dalam PRN.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, turut menafikan sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara Warisan dan BN Sabah.