Siasat Dakwaan Penggunaan Dana Haram Kartel Dadah Oleh Parti Warisan – G57

Siasat Dakwaan Penggunaan Dana Haram Kartel Dadah Oleh Parti Warisan – G57

0
SHARE
Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar pihak penguatkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penggunaan duit haram kartel dadah bagi membiaya Parti Warisan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, terdapat pelbagai aduan orang awam yang mendakwa Parti Warisan, khususnya bagi kawasan Sepanggar, telah dimenangi dengan hasil aktiviti jenayah tersebut.

Tangkapan suspek utama yang bergelar ‘Datuk’ dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbabit telah dibuat pasukan Bukit Aman dan ESSCOM pada 25 Disember tahun lalu.

Selepas tangkapan dibuat, tular gambar lama yang menunjukkan beliau bermesra bersama beberapa pemimpin Warisan.

“G57 menerima aduan bahawa pejabat Warisan di Alam Mesra pun dibiayai oleh sindiket ini selain mendapat imbuhan kewangan bagi Pilihan Raya Negeri dan Umum ke-15 dan 16…

“Terdapat juga dakwaan bahawa aktiviti jenayah terbabit berleluasa ketika zaman 26 bulan Warisan memerintah.

“Ini tidak boleh dibiar berterusan.. segelintir pemimpin Warisan telah bertindak menafikan dakwaan itu tetapi pihak berkuasa harus menyiasat dengan lebih lanjut,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Karamunsing pada Khamis.

Zulkarnain (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah…

Zulkarnain berkata ianya sesuatu yang mengejutkan kerana orang ramai menyangka kemewahan suspek terbabit datang daripada francais restorannya.

“Ini menjadi masalah juga kepada Umno Sabah kerana apa yang akan berlaku jika mereka memerintah bersama Warisan pada masa hadapan?

“Kalau benar mereka terima dana ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) boleh mengambil tindakan.

“Sebab mengikut undang-undang, parti politik tidak boleh mengambil dana haram,” tegasnya.

Beliau berkata pertubuhannya akan terus membuat laporan susulan di pejabat SPRM Putrajaya dan ROS bagi merungkai kebenaran.