SK Kundasang Terpilih Dalam Penilaian Sebagai UNESCO Global Geopark

SK Kundasang Terpilih Dalam Penilaian Sebagai UNESCO Global Geopark

0
SHARE

RANAU, SABAH – Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang terpilih daripada tiga sekolah angkat Kinabalu Geopark yang terlibat dalam misi penilaian Kinabalu Geopark sebagai UNESCO Global Geopark, kata Setiausaha Persatuan Ibu Bapa, Guru, Komuniti dan Swasta (PIBGKS) Naiwah Arifin.

Jelas beliau, sekolah itu terpilih selepas menubuhkan Taman Ekosains pada 2017 sebelum diangkat sebagai sekolah angkat Kinabalu Geopark pada Ogos 2021.

Beliau yang juga guru bahasa Melayu sekolah itu berkata taman ekosains yang mempunyai keluasan kira-kira 1,200 kaki persegi itu siap pada 2018, dibina dengan kerjasama PIBGKS serta dirasmikan pada 2019.

“Kos awal pembinaan kira-kira RM400,000 adalah sumbangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan landskap taman ini dibantu dengan kerjasama beberapa rakan strategik sekolah ini…

“Taman-Taman Sabah membantu dalam penyediaan sudut geopark yang berada dalam taman ini selain membantu menanam tanaman herba,” katanya.

Naiwah berkata Kinabalu Geopark kini adalah adalah rakan strategik baharu sekolah itu selain Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kinabalu Geopark diumumkan sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac 2020 merangkumi keluasan 4,750 kilometer persegi melibatkan daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu termasuk Taman Kinabalu iaitu Tapak Warisan Dunia yang berada di dalam ketiga-tiga daerah tersebut.

Pengiktirafan di peringkat kebangsaan itu telah melayakkan Geopark Kebangsaan Kinabalu untuk disenaraikan sebagai calon Geopark Global UNESCO yang dikenali sebagai “Aspiring Kinabalu UNESCO Global Geopark”.