
TUARAN, SABAH – Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, Kota Kinabalu berjaya mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut dalam Pertandingan Seni Warisan Juara Limbai 2024.
SM Lok Yuk dan SK Sembulan masing-masing berjaya menewaskan empat buah sekolah dalam pertandingan akhir bagi kategori sekolah menengah dan kategori sekolah rendah di samping meraih hadiah wang tunai RM7,000, piala dan sijil penyertaan.
Bagi kategori menengah, naib johan disandang oleh SMK Narinang, Kota Belud dan ketiga SMK Tambulion, Kota Belud manakala kategori sekolah rendah pula dimenangi oleh SK Kauluan, Tuaran (naib juara), dan SK Pekan Tamparuli di tempat ketiga.
Naib juara membawa pulang RM5,000, piala dan sijil penyertaan manakala ketiga menerima RM3,000 berserta piala dan sijil penyertaan.
Sementara itu, Anugerah Penari Terbaik Lelaki dan Anugerah Penari Terbaik Perempuan masing-masing menerima wang tunai RM500 berserta piala dan sijil penyertaan
Bagi kategori sekolah menengah, penari terbaik disandang oleh Nur Dianza Aini Basa Ama Koten (SM Lok Yuk, Kota Kinabalu) dan Alex Bruce Teo (SMK Tambulion, Kota Belud).
Pelajar SK Pekan Tamparuli, Cevetella Violante Maigoh dan Mohammad Ahsani Mohammad Ali Moham (SK Sembulan, Kota Kinabalu) pula menerima anugerah sama bagi kategori sekolah rendah.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran pada Sabtu malam.
Pertandingan Seni Warisan Juara Limbai yang dianjurkan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah dijayakan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah sebagai penaja utama dan rakan strategik Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) dan AJ Production Sdn Bhd.
Turut hadir, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif, Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Cyril Simon. — JABATAN PENERANGAN SABAH





