KOTA KINABALU, SABAH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong dinobatkan sebagai johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 Peringkat Negeri Sabah.
Sketsa bertajuk ‘Rukun Negara Tunas Belia’ itu dipersembahkan oleh lima ahli kumpulan iaitu Ellyseva Nabila Olkestria, Beatrice Chong Yi Yee, Steven Fadan Justin, Levan Hazlieq Syah dan Sharif Mohammad Iqwal Uddin.
Kumpulan tersebut berjaya membawa pulang wang tunai, sijil penghargaan, piala iringan dan hamper sekaligus akan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaaan di Kuala Lumpur pada 28 Oktober depan.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh SMK Bandaraya Kota Kinabalu SMK Kunak Jaya, Kunak manakala saguhati dimenangi oleh SMK Kunak, SMK Apin-apin Keningau kumpulan A dan kumpulan B.
Dalam majlis berkenaan, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim berkata, intipati Rukun Negara perlu dihayati dan disematkan dalam diri kita agar dapat bersama-sama membina negara bangsa yang bersatu padu terutamanya dalam negara majmuk.
Beliau mengingatkan rakyat agar terus bersatu hati dalam satu semangat dan nilai perpaduan yang jitu, memperteguhkan iltizam untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara.
Peto juga berharap melalui pertandingan seumpama ini dapat bersatu hati sebagai satu bangsa yang mempunyai nilai dan berpegang teguh kepada prinsip kenegaraan yang sama serta berbangga menjadi warga sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah itu di Dewan SMK Kolombong, Kota Kinabalu pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan timbalannya, Supian Musa serta Pengetua SMK Kolombong, Dr Justin Rompod. — JABATAN PENERANGAN SABAH