SPRM Tahan Pembantu Tadbir Terima Rasuah RM20,000

SPRM Tahan Pembantu Tadbir Terima Rasuah RM20,000

0
SHARE
Gambar Hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu tadbir kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40-an yang memegang gred jawatan N22 dipercayai meminta rasuah daripada sebuah syarikat yang menguruskan kerja-kerja bot di sebuah pelabuhan di Kota Kinabalu, Sabah dua tahun lalu.

“Lelaki tersebut telah ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kesalahan tersebut disiasat dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, pembantu tadbir itu akan dituduh di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah esok.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Sabah turut menahan seorang pemandu lori tempatan kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1,000 kepada pihak polis.

Menurut sumber, wang berkenaan diberi sebagai balasan untuk melepaskan adik angkat lelaki tersebut yang ditahan atas kesalahan judi sabung ayam.

“Suspek yang berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi oleh pegawai SPRM cawangan Tawau di ibu pejabat polis daerah Tawau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan lelaki tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, Sabah dalam tempoh terdekat.