Tamu Dipapar Dalam Pameran Khas Dirgahayu Tuan Yang Terutama

Tamu Dipapar Dalam Pameran Khas Dirgahayu Tuan Yang Terutama

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (tiga dari kiri) sedang memerhati jualan iaitu beras yang terdapat di Pameran Khas tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tamu diangkat sebagai warisan budaya yang unik dan dipaparkan dalam pameran ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’ pada tahun ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, pameran yang bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin itu memaparkan keunikan tamu sebagai warisan kebudayaan masyarakat tempatan yang masih dijalankan sehingga hari ini.

“Negeri Sabah sememangnya sinonim dengan tamu yang berperanan sebagai pusat pertemuan dan perniagaan yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai etnik bagi menjual beli hasil-hasil kampung.

“Mereka dapat bersosial, berkongsi berita selain menjadi tempat berniaga dan membeli barang keperluan.

“Tamu juga menjadi daya tarikan para pelancong yang berkunjung ke Sabah, selain menjadi tempat berniaga dan membeli barang keperluan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama dan Tamu di Muzium Tamadun Islam, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pameran terbabit juga mempamerkan aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan Tun Juhar sebagai payung perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

“Sejarah perjalanan Tuan Yang Terutama Tun Juhar dalam pentadbiran Sabah adalah tidak asing lagi bagi kita, kekuatan dan semangat cintakan keamanan yang ditonjolkan oleh Tun Juhar mengikat dan memandu kesatuan kita bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negeri ini terus terjamin,” ujarnya.

Tambah Christina, walau pelbagai cabaran mendatang dari pelbagai penjuru, kita mampu kekal bersatu demi negeri tanah air tercinta, Sabah Maju Jaya seiring dengan tema Malaysia Madani, “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.

Majlis perasmian pameran berkenaan disempurnakan oleh Tun Juhar turut dibuka kepada orang ramai bermula jam sembilan pagi hingga lima petang dan tiket masuk untuk untuk pelawat tempatan RM2 seorang, semnentara pelancong asing berjumlah RM15 seorang. — JABATAN PENERANGAN SABAH