MELAKA – Seekor tapir mencetus kekecohan apabila muncul sebagai tetamu tidak diundang di sebuah hotel, di sini.
Memetik sumber The Star, Pengurus Besar Kumpulan Hatten Hotel Worldwide, Datuk Chuck Kassim berkata haiwan terbabit berkeliaran di sekitar Hotel Estadia Bandar Hilir dan sebelum disedari tetamu pagi tadi.
“Ia benar-benar satu kejutan Tahun Baru untuk kami semua di Hatten Group,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka berkata, tapir terbabit telah dibius oleh renjer dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan dibantu beberapa orang pegawai dari Zoo Melaka sekitar tengah hari tadi.
Tapir Malaya (tapirus indicus), juga dipanggil Tapir Asia, merupakan spesies yang berasal dari Tanah Melayu dan Sumatera.
Ia telah disenaraikan sebagai terancam dalam Senarai Merah IUCN sejak 2008, dengan jumlah populasi kurang daripada 2,500 individu matang.