JERTIH, TERENGGANU – Amalan membaca Al-Quran selepas Subuh yang dijadikan rutin harian menjadikan seorang pelajar beroleh kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dengan keputusan 12A+.
Ahmad Farhan Abdullah, 18, dari Ketereh, Kelantan yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berkata, dia hanya tahu keputusan penuh peperiksaan itu ketika membuat semakan secara dalam talian kelmarin (Khamis).
Katanya, walaupun tidak meletakkan harapan tinggi, dia cuba melakukan yang terbaik berbanding keputusan percubaan hanya memperoleh 11A+ dan 1A bagi subjek matematik tambahan.
“Cabaran utama kami ialah terpaksa belajar secara dalam talian sejak bermula pandemik COVID-19 tahun lalu kerana ia tidak sama dengan belajar secara bersemuka…
“Nasib baik keluarga sangat memahami dan setiap hari memberi motivasi serta kata-kata semangat untuk fokus terhadap persediaan menghadapi SPM.
“Walaupun ada beberapa silibus tidak sempat dihabiskan sebelum kaedah pengajaran dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), saya mengambil inisiatif melakukan ulang kaji sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik BH Online.