‘Team JJ’ Bantu Bersihkan Rumah Penduduk Kampung Terjejas Akibat Banjir

‘Team JJ’ Bantu Bersihkan Rumah Penduduk Kampung Terjejas Akibat Banjir

0
SHARE
Jamawi bersama pasukanya turun padang membantu penduduk membersihkan kediaman di salah sebuah kampung di Kemabong...

KEMABONG, SABAH – Satu pasukan yang dikenali sebagai ‘Team JJ’ berganding bahu membantu secara sukarela penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini untuk membersihkan rumah mereka yang terjejas oleh bencana banjir baru-baru ini .

Lebih dari 30 orang anak muda yang diketuai oleh Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) Jamawi Jaafar secara suka rela bergerak dari kampung ke kampung di kawasan Kemabong membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas teruk ekoran bencana banjir baru-baru ini.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Belia Usia Sabah, tidak semua keluarga mempunyai kudrat untuk membersihkan kediaman yang dikotori banjir lumpur kerana ada yang terdiri daripada golongan tua serta mereka yang mempunyai anak kecil.

“Bencana banjir yang melanda negeri ini khususnya di kawasan Kemabong memberi kesan buruk kepada mangsa yang terjejas terutama kerosakan harta benda yang menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit…

“Jadi, inisiatif kami membantu membersihkan rumah mereka adalah usaha kecil bagi meringankan beban yang ditanggung , selain bantuan keperluan makanan dan air,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Pasukan JJ (Team JJ) membersihkan rumah penduduk di kampung Kuala Tomani kelmarin.

Jamawi yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom berkata banjir besar yang berlaku kali ini tidak akan dilupakan terutama bagi mereka yang tinggal di beberapa buah kampung di Kemabong sehingga ada penduduk yang gagal menyelamatkan harta benda mereka kerana air mendadak naik.

“Banjir bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda tetapi turut berkait rapat dengan emosi. Melihat keadaan kediaman yang kucar-kacir, emosi mana yang mampu bertahan. Itu belum ditambah dengan kemusnahan harta benda dan tanaman,” katanya.

Sebuah rumah musnah dalam kejadian banjir di kampung Kuala Tomani…

Justeru itu, menurut Jamawi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk yang terjejas semua pihak perlu berkerjasama tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan untuk membantu mereka yang terjejas.

“Saya berterima kasih kepada mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan kepada pasukan ini bukan sahaja keperluan makanan , air dan pakaian terpakai yang akan kita agih-agihkan kepada penduduk yang terlibat,” katanya.

Jamawi(tiga kiri) bersama isteri (tiga kanan) menerima sumbangan pakaian terpakai untuk diagih-agihkan kepada penduduk di kawasan Kemabong…

Jamawi juga turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri di mana Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor bersama kepimpinan negeri turut turun padang melihat keadaan banjir di daerah ini disamping menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.